Seminar PT3

Seminar PT3
Berminat: 03-21483314

Thursday, June 21, 2018

Air penting kepada manusia?

Air merupakan komponen utama dalam kehidupan manusia zaman ini.
Huraikan kepentingan air kepada manusia.

Air bermaksud sumber bekalan minuman yang amat diperlukan untuk meneruskan kehidupan harian mereka. Namun, banyak sumber air telah dicemari oleh manusia sehingga bahan mentah ini menjadi komoditi yang bernilai pula. Lantaran itu, manusia harus memahami kebaikan yang ditimbulkan oleh air itu.

Kepentingan utama air kepada manusia ialah sumber bahan mentah ini memberikan manusia sumber minuman yang amat diperlukan itu. Pakar perubatan sudah membuat kajian lalu bersetuju bahawa tubuh manusia diliputi lebih daripada 80% cecair yang penting untuk menjalankan aktiviti harian manusia itu. Jelaslah, air begitu penting kepada manusia kerana sumber air menjadi komponen utama kehidupan.

Selain itu, air turut menghasilkan habitat yang baik untuk hidupan terutamanya haiwan meneruskan kehidupan mereka. Kawasan sungai, tasik, dan laut menjadi habitat yang sesuai untuk pelbagai spesies seperti ikan, memerang, buaya, ular, gajah,katak, dan burung. Sebenarnya, tanpa kewujudan air pastinya habitat sebegini tidak akan wujud lalu haiwan tidak boleh membiak sepanjang masa.

Tambahan pula, ada negara yang menggunakan sumber air mereka terutamanya sungai untuk menjana tenaga elektrik hidro. Banyak empangan dibina di kawasan sungai untuk memperoleh tenaga elektrik yang akan disalurkan ke seluruh negara pula. Maka, bekalan elektrik yang terhasil akan membawa kemodenan terhadap kehidupan manusia di dunia ini.

Air turut menjadi perkara penting dalam kehidupan kerana air menjadikan sektor pertanian lebih maju. Banyak tanaman seperti padi, barli, kacang soya, dan jagung memerlukan air untuk tumbuh dengan sempurna. Ringkasnya, bekalan air yang cukup menjamin masyarakat dunia sumber makanan yang banyak lalu kebuluran tidak akan berlaku.


Kesimpulannya, air memang menjadi satu perkara penting dalam kehidupan manusia di dunia ini. Namun, ada pihak yang masih berani mencemarkan bekalan air kerana tidak memahami kepentingan air dalam kehidupan mereka itu. Peribahasa sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya mengingatkan kita supaya menjaga sumber bekalan air dengan baik sebelum terlewat.

No comments: