Seminar PT3

Seminar PT3
Berminat: 03-21483314

Tuesday, September 25, 2018

Usaha ibu bapa lahirkan modal insan negara?

Modal insan yang berkualiti harus dimiliki oleh negara ini lalu ibu bapa bertanggungjawab melahirkan golongan sebegini.
Jelaskan usaha-usaha ibu bapa itu.

Modal insan bermaksud golongan manusia yang mempunyai keperibadian yang baik, mulia, cergas, dan berfikiran matang serta rajin. Mereka tidak akan terlibat dalam gejala negatif seperti penagihan dadah, mencuri, bergaduh, dan menghabiskan masa secara sia-sia itu. Jadi, apakah tindakan-tindakan yang boleh diambil oleh ibu bapa untuk melahirkan generasi modal insan yang berkualiti ini?

Usaha yang paling tepat dibuat oleh ibu bapa untuk melahirkan modal insan ini ialah mereka memberikan didikan keagamaan yang sempurna kepada anak. Mereka boleh menghantar anak mereka menghadiri kelas keagamaan yang dianjurkan oleh pihak masjid, gereja, kuil, dan sebagainya supaya jiwa remaja itu dipenuhi aspek kebaikan kemanusiaan. Akibatnya, anak yang dididik dengan ajaran keagamaan yang sempurna ini akan menjadi modal insan yang diperlukan oleh negara nanti.

Selain itu, ibu bapa yang berfikiran jauh akan memberi sokongan kepada anak untuk terlibat dalam kegiatan sukan supaya anak menjadi modal insan yang berkaliber itu. Semua keperluan sukan anak dipenuhi oleh ibu bapa dan mereka boleh datang menyaksikan aksi anak mereka dalam sesuatu acara sukan supaya anak berasa diri diberi sokongan moral ibu bapa sendiri. Sebenarnya, penglibatan anak dalam sukan akan memberikan mereka keyakinan diri dan kecergasan yang diperlukan untuk menjadi modal insan yang sejati.

Tambahan pula, penghasilan modal insan boleh dibuat menerusi curahan kasih sayang ibu bapa kepada anak mereka. Ibu bapa boleh memeluk anak mereka secara kerap, mengucapkan kata-kata sayang kepada mereka, dan selalu memberikan semangat kepada anak apabila mereka dalam kesedihan. Lantaran itu, jiwa anak menjadi tenang kerana berasa diri mereka dihargai oleh ibu bapa sehingga tidak berani untuk melakukan perkara negatif yang boleh mengecewakan ibu bapa pula.

Tindakan terakhir yang boleh dibuat oleh ibu bapa kepada anak mereka untuk memiliki modal insan yang baik ialah mereka tidak menekan aspek pendidikan anak itu. Semua ibu bapa perlu menilai kemampuan pembelajaran anak mengikut kebolehan masing-masing tanpa memberikan tekanan atau membuat perbandingan dengan anak lain. Ringkasnya, anak yang diberi peluang untuk belajar akan berjaya berdasarkan kebolehan mereka dalam bidang tertentu yang mampu memenuhi ciri-ciri modal insan yang baik.

Kesimpulannya, usaha mewujudkan anak yang mewakili modal insan yang berkualiti memang menjadi tugas ibu bapa. Namun, ada ibu bapa yang enggan melaksanakan tugas ini lalu anak terlibat dalam gejala negatif. Peribahasa bagaimana acuan begitulah kuihnya membuktikan sikap ibu bapa akan mempengaruhi anak pada masa depan. 


1 comment: