Tuesday, May 28, 2019

Kebaikan memiliki kawan yang ramai?

Manusia harus mempunyai banyak kawan dalam hidup ini. Namun, remaja zaman ini lebih suka bersendirian.
Nyatakan kebaikan-kebaikan mempunyai kawan yang ramai.

Kawan merujuk kenalan atau sahabat yang sering dihabiskan masa oleh seseorang dalam kehidupan hariannya. Ada kenalan yang dikenali sejak alam persekolahan dan ada juga yang dikenali ketika memasuki alam pekerjaan serta ketika menjalani zaman universiti. Sebenarnya, memiliki kawan yang ramai membawa banyak impak positif.

Kesan baik yang timbul ekoran memiliki banyak sahabat ialah seseorang itu akan memperoleh banyak ilmu pengetahuan yang berguna. Ketika berbual sudah pasti kawan-kawan akan menceritakan pengalaman kerja dan hidup mereka lalu pengetahuan seseorang tentang sesuatu perkara bertambah baik. Lama-kelamaan, pengetahuan yang diperoleh itu boleh digunakan untuk menjadikan kehidupan harian seseorang berjalan lancar pula.

Selain itu, insan yang mempunyai sahabat yang ramai akan berpeluang untuk meluahkan masalah mereka dengan mudah. Apabila meluahkan kemelut yang membeku di dalam dada itu pastinya kawan yang mendengar menjadi jiwa seseorang lebih tenang kerana berasa dirinya dihargai oleh insan lain. Akibatnya, minda dan jiwa seseorang akan menjadi tenang sebaik sahaja masalahnya diluahkan kepada orang lain itu.

Tambahan pula, mereka yang memiliki kawan yang banyak akan terhindar daripada terjebak dalam gejala negatif. Apabila mempunyai kawan yang ramai sudah pasti individu terbabit mempunyai aktiviti harian yang dipenuhi dengan berinteraksi dengan rakan-rakan lalu mereka tidak terlibat dengan gejala buruk itu. Maka, semakin ramai kawan terutama kenalan yang baik semakin kuranglah potensi mereka terlibat dalam perkara negatif itu.

Akhir sekali, amalan mempunyai kawan yang ramai akan membawa wujudnya perpaduan antara masyarakat pula. Persahabatan yang jujur tidak akan mengenali batasan agama, kaum, dan keturunan lalu perpaduan akan diwujudkan melalui perhubungan tersebut. Sesungguhnya, amalan mempunyai sahabat yang banyak memberikan kefahaman tentang budaya masyarakat lain itu.


Kesimpulannya, orang yang mempunyai sahabat yang ramai akan menjalani kehidupan yang sempurna berbanding mereka yang kurang sahabat. Namun, banyak pihak melihat kawan yang ramai akan menimbulkan masalah kerana terpaksa melayan kerenah yang pelbagai. Peribahasa berkawan biar seribu,  bercinta biar satu membuktikan bahawa amalan bersahabat ramai perlu dibuat oleh semua pihak.

No comments: